Pekerja syarikat kurier kritikal ditikam rakan sekerja

BALIK PULAU: Seorang pekerja syarikat penghantaran kritikal selepas ditikam di beberapa bahagian badan oleh rakan sekerjanya di sebuah premis dekat Taman Symphony Garden, di sini, petang tadi.

Kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu turut disaksikan seorang lagi rakan sekerja mangsa yang kemudian memaklumkannya kepada polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Jafri Md Zain, berkata sebelum itu berlaku pergaduhan di antara suspek dengan mangsa dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati kerana masalah di tempat kerja.

Katanya, suspek kemudian bertindak menikam mangsa dengan pisau dan melarikan diri sejurus kejadian bersama senjata terbabit.

Bagaimanapun, dia berjaya ditahan lewat petang tadi di Seberang Perai.

“Suspek yang juga penyelia dan mangsa adalah rakan sekerja di sebuah syarikat kurier cawangan Balik Pulau.

“Akibat tikaman itu, mangsa berusia 24 tahun kritikal dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang.

“Doktor yang memeriksa mangsa mengesahkan terdapat kecederaan akibat tikaman di dada dan bahagian kiri ketiak, selain kesan cedera di tangan kanan serta dagu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jafri berkata, semakan terhadap suspek mendapati dia mempunyai tiga rekod lampau iaitu dua berkaitan dadah dan satu jenayah, manakala mangsa turut mempunyai satu rekod dadah.

Beliau berkata, polis sudah merakam percakapan saksi kejadian dan siasatan lanjut berhubung kes itu masih dijalankan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.



Sumber : Pekerja syarikat kurier kritikal ditikam rakan sekerja

Post a Comment

0 Comments