SERIAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan makanan asas mencukupi jika gelombang kedua pandemik COVID-19 melanda negara.
Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi, berkata pihaknya bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Ia berikutan trend pesakit positif pandemik COVID-19 yang menunjukkan peningkatan dalam tempoh beberapa hari ini.
"Kita sedia maklum keadaan pandemik itu sekarang dan sudah bersedia jika gelombang kedua melanda.
"Rakyat tidak perlu bimbang kerana bekalan makanan asas kita mencukupi untuk menampung keperluan dalam tempoh beberapa bulan lagi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan tinjauan di Pasar Awam Serian di sini, hari ini.
Nanta berkata, selain bekalan dalam negara yang dijamin mencukupi, pihaknya bersama dua kementerian terbabit juga kerap meninjau bekalan dari negara sumber antaranya memastikan bekalan daging di India mencukupi untuk dieksport ke Malaysia.
"Begitu juga bekalan beras. Baru-baru ini Vietnam menghentikan eksport beras ke Malaysia, tetapi rakyat tidak perlu bimbang kerana kita sentiasa mencari negara sumber baharu.
"Ia termasuk kembali ke negara sumber beras tradisi kita seperti Thailand dan Myanmar," katanya.
Terdahulu, beliau berpuas hati dengan hasil tinjauan apabila mendapati kebanyakan barang kawalan dijual pada harga ditetapkan.
"Ikan kembung misalnya, kita menetapkan harga RM11 sekilogram, tetapi didapati peniaga di Serian menjualnya pada harga RM10," katanya.
Katanya, beliau turut diberi jaminan oleh petani dan penternak di kawasan Serian bahawa bekalan makanan untuk musim perayaan Hari Gawai mencukupi.
"Serian dan Tarat di sini ialah kawasan pengeluar utama makanan Sarawak dan saya diberi jaminan, bekalan makanan untuk perayaan Hari Gawai tidak akan menghadapi masalah," katanya.
Sumber : Bekalan makanan cukup hadapi gelombang kedua COVID-19
0 Comments