KAMPAR: Jabatan Perhutanan Perak menahan 14 pendaki selepas disyaki melakukan aktiviti pendakian tanpa kebenaran di Hutan Simpan Bujang Melaka, Kampar, kelmarin.
Menurut kenyataan jabatan itu hari ini, mereka yang ditahan membabitkan lapan lelaki dan enam wanita.
Berdasarkan maklumat yang diterima, kataya, pendakian mereka bermula daripada Tanah Milik Sahom Valley Resort dan seterusnya ke Batu Dinding berhampiran puncak Gunung Bujang Melaka.
"Semua individu terbabit ditahan sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Hutan Daerah Kinta Manjung yang menjalankan semakan dan pemantauan di kawasan berkenaan.
"Mereka disyaki memasuki hutan simpan tanpa mendapatkan permit kebenaran daripada Jabatan Perhutanan Negeri Perak," katanya.
Menurutnya, satu laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Kuala Dipang dan semua individu terbabit sudah dilepaskan dengan jaminan polis.
Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan oleh pihak penyiasat Jabatan Perhutanan Negeri Perak.
"Mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984.
"Jabatan Perhutanan Negeri Perak mengingatkan individu dan masyarakat, walaupun aktiviti pendakian sudah dibenarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), namun jika kawasan berkenaan berada dalam Hutan Simpan Kekal (HSK), mereka perlu mendapatkan kelulusan daripada jabatan melalui Pejabat Hutan Daerah," katanya.
Sumber : 14 pendaki ditahan ceroboh hutan simpan
0 Comments