KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia tidak perlu bimbang susulan letusan gunung berapi paling aktif di Indonesia, Gunung Merapi pagi tadi, berikutan debu daripada letusan itu tidak akan menjejaskan ruang udara negara ini.
Dalam kenyataan media Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan letusan yang dilaporkan berlaku pada jam kira-kira 10.27 pagi tadi, mengakibatkan debunya mencapai hingga 6,000 meter ke udara.
"Orang ramai tidak perlu bimbang kerana asap debu gunung berapi itu dijangka tidak menjejaskan ruang udara negara ini berikutan angin pada paras itu bertiup ke arah selatan dan barat daya.
"Tiada kesan gempa bumi dan tsunami dijangka melanda negara kita akibat letusan gunung berapi itu," kata kenyataan itu.
Katanya, keadaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negara menunjukkan kualiti udara dalam keadaan biasa.
Sehingga 7 malam tadi, Seremban, Negeri Sembilan mencatatkan bacaan IPU 47 yang dikategorikan baik, manakala Batu Muda, Kuala Lumpur bacaan IPU 56, Petaling Jaya (54), Putrajaya (52) dan Tasek Ipoh, Perak 58 yang ditakrifkan sederhana.
Sementara itu, Seberang Perai, Pulau Pinang mencatatkan bacaan IPU 58, Melaka (51), Kota Tinggi, Johor (48), Kuala Terengganu, Terengganu (58), Kota Kinabalu, Sabah (21) dan Kuching, Sarawak direkodkan 18.
Orang ramai dinasihatkan sentiasa peka dengan maklumat gempa bumi dan amaran tsunami yang dikeluarkan METMalaysia melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial.
Sumber : Letusan Gunung Merapi, Indonesia tidak beri kesan kepada Malaysia
0 Comments