KOTA BHARU: Seorang remaja dikhuatiri lemas di tali air di Kampung Dendang, Ketereh di sini, petang tadi.
Dalam kejadian jam 4.37 petang tadi, Thanakorn Prasongkun, 17, dipercayai menyelamatkan rakan baiknya yang terjatuh di tali air ketika mencuci kaki di tebing.
Rakan mangsa, Aaron Kuaxian Fan, 15, bersama Thanakorn dan tiga rakan lain mandi di tali air berkenaan.
"Selepas siap mandi, kami naik ke darat untuk pulang dan saya cuba mencuci kaki, namun tergelincir kerana terpijak tebing tali air yang licin.
"Thanakom terus terjun menyelamatkan saya dan mengangkat saya naik. Saya sempat pegang tangan dia sebelum dia tenggelam," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Aaron berkata, mereka berlima tinggal di kawasan perumahan berhampiran tali air itu dan sering menghabiskan masa bersama-sama.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Penolong Penguasa Bomba, Ahmad Fakaruddin Berahim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 4.51 petang.
Katanya, seramai 16 anggota bomba termasuk lima anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kota Bharu dan tiga pegawai ke lokasi lemas.
Katanya, turut membantu lima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
"Pencarian dimulakan di kawasan tengah tali air di lokasi terakhir mangsa dilihat.
"Berdasarkan keadaan tali air, kita anggarkan kedalaman 15 meter kerana difahamkan tali air ini baru diselenggara," katanya.
Operasi pencarian akan disambung pagi esok.
Sumber : Remaja dikhuatiri lemas selepas selamatkan rakan
0 Comments