KUALA LUMPUR: Seramai 16 individu ditahan dan 453 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya dalam operasi bersepadu dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM), di Plaza Tol Kajang dekat sini, malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Superintendan Azman Shari'at, berkata mereka ditahan berusia lingkungan 20 hingga 30-an kerana terbabit lumba haram, positif dadah dan menggunakan kenderaan curi dalam operasi bermula jam 11 malam sehingga 6 pagi tadi.
Beliau berkata, saman turut dikeluarkan termasuk kerana lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh serta melakukan pengubahsuaian terhadap kenderaan.
Katanya, 247 individu dan 239 kenderaan membabitkan 227 motosikal dan 12 kereta diperiksa dalam operasi itu.
"Polis juga menyita 77 motosikal dalam operasi ini," katanya kepada Bernama, hari ini.
Operasi membabitkan lebih 140 pegawai dan anggota PDRM, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor serta PLUS Malaysia Bhd (PLUS).
– BERNAMA
Sumber : 16 ditahan, 453 saman lakukan pelbagai kesalahan jalan raya
0 Comments