KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan berharap semua pihak berhenti menyalahkan dirinya berkaitan kemelut hutang yang ditanggung persatuan itu.
Beliau mendedahkan sudah menghabiskan jutaan ringgit wang sendiri untuk membayar hutang KAFA ketika berada di kerusi nombor satu persatuan negeri itu dari 2017 hingga 2019.
Justeru, usahawan terkenal itu menganggap tidak adil untuk mana-mana pihak menyalahkan dirinya selepas berkorban wang ringgit dalam usaha membantu The Red Warriors (TRW).
"Dalam tempoh dua, tiga bulan pertama menjadi presiden saya sudah habiskan kira-kira RM3.2 juta untuk membayar hutang (tunggakan gaji) KAFA. Tunggakan gaji sahaja kira-kira RM2 juta, tidak termasuk kes FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa).
"Jumlah wang yang digunakan itu termasuk bantuan wang daripada beberapa Exco KAFA yang diberikan dalam bentuk pinjaman. Ia kerana ketika itu kami tidak ada penaja dan terpaksa keluarkan wang sendiri.
"Jika dikira jumlah keseluruhan lebih RM6 juta dikeluarkan untuk membantu KAFA. Jadi, rasa terkilan juga sebab kita sudah berkorban wang ringgit membantu KAFA tapi orang masih menyalahkan kita," katanya kepada BH Sukan, semalam.
Akhbar ini semalam melaporkan sumber mendakwa kesilapan pengurusan lama menyebabkan KAFA ketika ini menanggung hutang lapuk lebih RM7 juta membabitkan dari 2014 hingga 2018.
Selain itu, Bibi menegaskan beliau tidak lari daripada menyelesaikan hutang KAFA apabila melepaskan jawatan presiden pada Jun tahun lalu.
"Saya dulu didesak letak jawatan, jangan salah faham, bukan lari daripada menanggung hutang KAFA. Kalau saya tak letak jawatan pun, pemilihan tetap akan dibuat.
"Sebab itu (sebelum letak jawatan) saya minta siapa yang nak jadi presiden datang jumpa saya untuk saya bagi penjelasan terperinci mengenai hutang-hutang KAFA, supaya saya tidak dipersalahkan.
"Saya tak salahkan pengurusan lama atau pengurusan sekarang. Siapa yang mahu ambil alih KAFA, mereka perlu bersedia untuk menanggung bebanan hutang," katanya.
Sumber : 'Berhenti salahkan saya'
0 Comments