977 PATI, 161 tekong ditahan sejak 1 Mei melalui Ops Benteng

KUALA LUMPUR: Polis semalam menahan lapan warga asing atas kesalahan imigresen melalui sekatan jalan raya Ops Benteng, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Penahanan itu dilakukan menerusi 68 sekatan jalan raya Ops Benteng di seluruh negara dan memeriksa 39,965 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutamanya di lorong tikus.

Sejak 1 Mei hingga semalam, seramai 977 PATI dan 161 tekong ditahan kerana cuba memasuki sempadan negara secara haram terutama melalui lorong tikus.

"Dalam tempoh sama turut ditahan ialah 36 individu yang disyaki penyeludup selain 26 kapal, " katanya pada sidang media Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), di Putrajaya, di sini hari ini.

Kerajaan katanya, akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak terbabit dalam penyeludupan PATI.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 284 rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Indonesia, Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Nepal, Hong Kong dan India didapati negatif COVID-19 selepas menjalani saringan dan diminta menjalani proses kuarantin wajib di rumah.

"Sejak 10 hingga 21 Jun lalu, seramai 4,394 telah pulang ke tanah air melalui KLIA dan daripada jumlah itu 4,375 diperintahkan untuk menjalani kuarantin di rumah dan 19 lagi di bawa ke hospital kerana positif COVID-19, " katanya.



Sumber : 977 PATI, 161 tekong ditahan sejak 1 Mei melalui Ops Benteng

Post a Comment

0 Comments