Keperluan solat Jumaat dua sesi diteliti

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan meneliti keperluan untuk membenarkan solat Jumaat dilakukan sebanyak dua sesi.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata setakat ini kerajaan membenarkan satu pertiga daripada kapasiti jemaah yang mampu ditampung sesebuah masjid dibenarkan untuk solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Saya percaya menteri hal ehwal agama akan meneliti perkara ini. Setakat ini kita benarkan satu pertiga (jumlah jemaah) untuk solat Jumaat.

"Sebagai contoh, Masjid Negara mampu menampung sehingga 15,000 jemaah. Satu pertiga daripada jumlah itu ialah 5,000 jemaah dan itu agak besar jumlahnya.

"Sama ada solat Jumaat dua sesi perlu dilakukan, saya percaya ia akan diteliti menteri hal ehwal agama. Kalau ada keputusan, kita akan umumkan," katanya pada sidang media mengenai PKPP di Putrajaya, hari ini.

Singapura memutuskan untuk membenarkan solat Jumaat mulai 26 Jun didirikan dua sesi bagi membolehkan lebih ramai umat Islam berpeluang mendirikan ibadat fardu ain itu.



Sumber : Keperluan solat Jumaat dua sesi diteliti

Post a Comment

0 Comments