Arsenal guna bapa pujuk Aubameyang

LONDON: Arsenal kini mengharapkan hubungan baik mereka bersama bapa Pierre-Emerick Aubameyang dapat 'memujuk' penyerang itu supaya terus kekal di Emirates.

Aubameyang dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid, Barcelona dan Manchester United memandangkan kontraknya memasuki tahun terakhir bersama The Gunners.

Penyerang Gabon itu berkongsi Kasut Emas dengan bintang Liverpool, Sadio Mane dan Mohamed Salah pada musim lalu dan kini penjaring kedua terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Jadi, Arsenal perlu memutuskan sama ada perlu melepaskan pemain itu pada musim panas ini untuk mendapat wang ataupun berdepan risiko kehilangannya secara percuma pada tahun akan datang.

Menurut Daily Telegraph, Arsenal jelas mahu terus menagih khidmat pemain itu untuk membantu mereka kembali bersaing di Liga Juara-Juara selepas tiga musim gagal menempatkan diri ke saingan terbabit.

Ketika COVID-19 memberi kesan kepada kewangan pasukan di seluruh dunia, Arsenal meletakkan keutamaan untuk mengikat Aubameyang daripada menandatangani mana-mana pemain baharu.

Pegawai pasukan itu begitu mengharapkan hubungan baik mereka bersama Pierre-Francois Aubameyang dapat membantu anaknya supaya terus kekal bersama Arsenal.

Penyerang itu diwakili ahli keluarganya dengan nama bapanya ada pada dokumen ketika anaknya itu menyertai Arsenal daripada Borussia Dortmund dengan perpindahan bernilai 56 juta pound (RM353 juta) pada 2018. -Agensi



Sumber : Arsenal guna bapa pujuk Aubameyang

Post a Comment

0 Comments