Caj tambahan: Gabungan Pendandan Rambut Malaysia serah kepada keputusan kerajaan

PUTRAJAYA: Gabungan Pendandan Rambut Malaysia menyerahkan kepada kerajaan untuk menentukan keputusan berhubung caj tambahan susulan peningkatan kos pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi perkhidmatan itu.

Perkara itu dicapai dalam pertemuan gabungan terbabit dengan Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman, di sini, hari ini, bagi membincangkan isu caj tambahan berkenaan.

Jika kerajaan membenarkan caj tambahan dikenakan nanti, gabungan itu juga bersetuju untuk tidak menetapkan satu kadar standard terhadap pelanggan masing-masing bagi mengelakkan wujud unsur kartel dalam kalangan pengusaha perkhidmatan gunting dan dandanan rambut.

Menjelaskan lanjut, Iskandar Halim berkata, caj tambahan yang dinyatakan gabungan itu sebelum ini, antara lain bertentangan dengan Akta Persaingan 2010.

Bagaimanapun, beliau berkata, perincian mengenai hasil pertemuan itu akan dimaklumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi, dalam tempoh terdekat.

"Ia membabitkan jumlah caj bersesuaian yang boleh dikenakan kepada pelanggan, selain kita turut membincangkan sama ada ia boleh dikenakan kepada pengguna atau sebaliknya.

"Pertemuan bersama ahli gabungan terbabit berjalan lancar dengan perbincangan dilakukan secara kondusif. Mereka sangat memahami masalah rakyat dan bersetuju mempertimbangkan apa jua keputusan akan dibuat kerajaan.

"Saya berharap orang ramai boleh bersabar dan saya yakin isu ini dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat," katanya ketika ditemui BH selepas pertemuan itu.

Sabtu lalu, caj gunting dan dandanan rambut dilapor akan dinaikkan antara RM5 hingga RM10 bagi setiap pelanggan susulan peningkatan kos operasi pematuhan SOP terhadap perkhidmatan itu.

Caj berkenaan dipersetujui tujuh persatuan yang menyertai Gabungan Pendandan Rambut Malaysia pada mesyuarat diadakan, baru-baru ini.

Tujuh persatuan itu ialah Persatuan Pendandan Malaysia (MHA); Persatuan Pendandan Bumiputera (BUHA); Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera (MBBA); Persatuan Pembangunan Kemahiran Dandanan Rambut (HSDA); Persatuan Pemerkasaan Jurugaya Rambut India Malaysia (MIHASS); Persatuan Pengusaha Jurugaya Rambut India Malaysia (MINDAS) dan Persatuan Jurugaya Rambut India Selangor Wilayah Persekutuan (PJRISWP).



Sumber : Caj tambahan: Gabungan Pendandan Rambut Malaysia serah kepada keputusan kerajaan

Post a Comment

0 Comments