COVID-19: 93 kes baharu setakat jam 12 tengah hari

PUTRAJAYA: Sebanyak 93 jangkitan baharu COVID-19 dicatatkan setakat jam 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah kes positif kini mencecah 7,970 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata semua kes berkenaan adalah penularan tempatan membabitkan 91 kes bukan warganegara dan dua lagi dalam kalangan warganegara.

"Sebanyak 55 kes terbabit adalah dari Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil dan 36 lagi daripada Kluster Pedas.

"Tiada kes import yang mendapat jangkitan di luar negara," katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Beliau memaklumkan, 61 kes dilaporkan pulih, hari ini, menjadikan angka kumulatif kes pulih sepenuhnya serta discaj daripada wad ialah 6,531 atau 81.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 ialah 1,324 kes. Mereka sudah diasing dan diberikan rawatan.

"Enam kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, dua kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Beliau berkata, tiada kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan, hari ini, menjadikan jumlah kumulatif korban akibat virus itu di Malaysia kekal 115 atau 1.44 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.



Sumber : COVID-19: 93 kes baharu setakat jam 12 tengah hari

Post a Comment

0 Comments