
KUALA LANGAT: Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama di Bukit Changgang dekat sini ialah kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pentadbiran (PKPP) terbesar di negara ini.
Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim, berkata kawalan bermula malam tadi sehingga 16 Jun ini membabitkan 4,100 meter persegi dengan pemasangan kawat berduri sepanjang 4.1 kilometer.
Katanya, kawasan itu dibahagi kepada tiga zon iiatu A,B dan C dengan 1,752 unit rumah pangsa, rumah kedai dan rumah teres.
"Ada kira-kira 9,000 penduduk di sini dengan hampir 70 peratus warga tempatan, manakala baki 30 peratus warga asing," katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah dan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman.
Sementara itu Azizan berkata, setakat hari ini sebanyak 3,000 penduduk sudah menjalani ujian saringan COVID-19, manakala baki 6,000 lagi dijangka diselesaikan pada Jumaat ini.
Azizan berkata, kira-kira 600 anggota pasukan keselamatan barisan hadapan ditugaskan di kawasan berkenaan dan kawalan ketat terhadap warga asing akan memastikan mereka menjalani ujian saringan.
Menurut beliau, penduduk tempatan dibenarkan keluar bersyarat termasuk dalam situasi kecemasan, manakala kedai di kawasan ini juga dibenar beroperasi bagi memudahkan mereka membeli makanan.
"Setakat ini polis sedang mengenal pasti kontak rapat 20 warga asing disahkan positif COVID-19 itu bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19," katanya.
Sumber : COVID-19: Kuala Langat kawasan perintah kawalan terbesar
0 Comments