KWP bakal umum langkah kurangkan impak kemiskinan dalam bandar

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan mengumumkan beberapa langkah mengurangkan impak kemiskinan dalam bandar di ibu negara, Putrajaya dan Labuan, tidak lama lagi.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata usaha itu bertujuan untuk melebarkan jaringan perlindungan sosial kepada golongan miskin bandar dengan memberi penjimatan dan merendahkan kos sara hidup mereka.

Justeru, beliau berkata, beberapa program dirangka dengan menyasarkan penduduk di 178 kawasan perumahan kos rendah, projek perumahan rakyat (PPR) dan seumpamanya di tiga Wilayah Persekutuan itu.

"Antara aspek akan disentuh ialah memastikan penduduk miskin dapat membeli barang keperluan pada harga rendah dan mengurangkan kos menghantar anak ke sekolah.

"Selain itu, kita meneliti langkah mengurangkan lagi kos perubatan dan rawatan membabitkan sakit ringan, serta mencari peluang pekerjaan alternatif untuk mereka menambah pendapatan.

"Ia pakej bersepadu yang akan diumumkan, sedikit masa lagi. Fokus saya ialah memastikan golongan kurang bernasib baik diberikan perhatian supaya tekanan daripada kos sara hidup tinggi dan kemiskinan bandar dapat ditangani," katanya dalam siaran langsung menerusi Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, Annuar memaklumkan, pihaknya sedang berbincang dengan DBKL berhubung penyediaan peruntukan khas yang akan diguna untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak muda dan belia yang bekerja secara harian atau kontrak kecil.

"Daripada lebih RM200 juta diperuntukkan bagi penyelenggaraan PPR dan sebagainya, RM40 juta akan diguna untuk menggaji anak muda dan belia melakukan kerja penyelenggaraan itu, sekali gus dapat memastikan kediaman golongan berpendapatan rendah sentiasa diberi perhatian," katanya.



Sumber : KWP bakal umum langkah kurangkan impak kemiskinan dalam bandar

Post a Comment

0 Comments