
KUALA LUMPUR: Tiada kertas siasatan baharu dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sejak 10 hari lalu membabitkan kes berita palsu berkaitan COVID-19.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia sekali gus menunjukkan kesedaran masyarakat sudah meningkat mengenai kepentingan untuk tidak berkongsi berita palsu.
"Saya berharap kesedaran ini berterusan dan kita tidak lagi berdepan berita palsu yang merugikan negara serta menghuru-harakan semua pihak," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya yang disiarkan secara langsung, hari ini.
Ismail Sabri memaklumkan, setakat hari ini, sebanyak 266 kertas siasatan sudah dibuka PDRM dan SKMM berhubung berita palsu berkenaan.
Daripada jumlah itu, beliau berkata, 179 kes masih dalam siasatan, 30 kes didakwa di mahkamah, 11 diberikan notis amaran dan 18 mengaku bersalah.
Katanya, sebanyak 317 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu telah dihebahkan kepada orang ramai oleh Pasukan Respons Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang ditubuhkan bagi membendung penyebaran berita palsu berkaitan COVID-19.
"Orang ramai diingatkan berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya, dan boleh menyalurkan maklumat kepada PRP melalui talian 03-8911 5103 atau melayari laman web: www.sebenarnya.my untuk menyemak kesahihan berita," katanya.
Sumber : COVID-19: Tiada siasatan baharu kes berita palsu sejak 10 hari lalu
0 Comments