DexCom pilih Malaysia lokasi kilang pertama di luar AS

KUALA LUMPUR: DexCom Inc, penyedia pemantau glukosa berterusan (CGM) untuk penghidap diabetes memilih Taman Perindustrian Batu Kawan sebagai kilang pembuatan ketiganya.

Kilang pembuatan baharu di Malaysia itu adalah yang pertama milik firma berpangkalan San Diego, California di luar Amerika Syarikat (AS).

Naib Presiden Eksekutif Dexcom, Quentin Blackford, berkata kemudahan pembuatan yang dicadangkan syarikat itu dijangka menambah jumlah pekerjaan baharu yang signifikan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Kewangan dan Ketua Pegawai Operasi DexCom, berkata antara pekerjaan baharu yang bakal diwujudkan termasuk peranan dalam pembuatan, pengurusan kemudahan termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berkaitan dengan pembuatan.

"Baru-baru ini, kami memutuskan untuk membangunkan kilang pembuatan ketiga di Taman Perindustrian Batu Kawan bagi menyokong pertumbuhan berterusan kumpulan.

"Selepas meninjau banyak lokasi berpotensi sebelum kami mendapati lokasi di Malaysia sangat sesuai dengan keperluan pembuatan masa depan," katanya dalam satu kenyataan.

Blackford menjelaskan, peningkatan kesedaran mengenai produk CGM DexCom dan kepercayaan syarikat terhadap peluang pertumbuhan teknologinya mendorongnya memperluaskan barisan pengeluarannya.

"Kilang baharu ini akan menjadi kemudahan tambahan sedia ada kami dan akan membantu memenuhi keperluan global untuk produk CGM bagi tahun mendatang," katanya.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kilang pembuatan baharu milik DexCom akan membantu meningkatkan pengeluaran peneraju industri sistem CGM milik firma itu.

"Kami mengalu-alukan kehadiran Dexcom dan ekosistem peranti perubatan di Malaysia. Ini adalah contoh terbaik bagaimana syarikat global membuat keputusan bersandarkan asas pelaburan.

"Dengan situasi COVID-19 yang masih belum berakhir di Malaysia, negara kita kekal menjadi destinasi pelaburan yang menarik disokong ekonomi dan ekosistem yang komprehensif.

"Ia menawarkan syarikat potensi untuk merealisasikan peluang perniagaan. Kami yakin Dexcom akan memanfaatkan ekosistem Malaysia yang kukuh, disokong oleh sokongan padu industri, dasar perniagaan mesra pelabur yang pragmatik dan badan penilaian global yang sedia ada di negara ini," katanya.

Beliau berkata, pelaburan DexCom akan menjadi pendorong kepada peserta industri dan rangkaian rantaian bekalannya untuk memilih Malaysia destinasi pelaburan.

Katanya, industri itu turut menjanjikan pewujudan pekerjaan berpendapatan tinggi, membangun nilai eksport yang lebih besar dan memperkasakan ekosistem rantaian bekalan domestik.

"Ia akan memberi kebaikan kepada industri untuk menarik pelaburan baharu bagi menyokong perniagaan tempatan menerusi pemindahan teknologi dan persepaduan vendor tempatan ke dalam rantaian bekalan global syarikat berkenaan," katanya.

Dengan keupayaan DexCom menghasilkan produk bernilai tambah dan berteknologi tinggi seperti alat berkaitan kardio, stent, alat implan ortopedik, alat elektro perubatan, terapi dan peranti pemantau, Malaysia berada pada kedudukan terbaik untuk menjadi hab pembuatan kelengkapan perubatan di Asia.

Setakat tahun lalu, sebanyak 402 projek peranti perubatan dengan pelaburan bernilai RM20.5 bilion dilaksanakan di Malaysia dan mewujudkan lebih 76,500 pekerjaana.

Bagi tahun lalu sahaja, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan 31 projek pembuatan peranti perubatan dengan nilai mencecah RM3.98 bilion.



Sumber : DexCom pilih Malaysia lokasi kilang pertama di luar AS

Post a Comment

0 Comments