Didenda RM3,000 memandu bawah pengaruh alkohol

TAWAU : Seorang peniaga didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini kerana memandu di bawah pengaruh alkohol pada Ogos tahun lalu.

Fong Chee Hing, 55, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Dzul Elmy Yunus.

Berdasarkan pertuduhan, Chee Hing didapati memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi paras dibenarkan di Jalan Apas dekat sini, kira-kira jam 11.45 malam pada 16 Ogos tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333/87) yang memperuntukkan hukuman denda antara RM1,000 hingga RM6,000 dan boleh dipenjarakan sehingga 12 bulan.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang memandu kenderaan jenis Mitsubishi ditahan menerusi Op Mabuk di sekatan jalan raya di Batu 2 Jalan Apas, selepas hasil ujian pernafasannya didapati positif.

Hasil ujian mendapati kandungan alkohol dalam badan tertuduh sebanyak 172 miligram etil Alkohol dalam 100 mililiter darah melebihi sebanyak 80 miligram daripada had dibenarkan.

Dzul Elmy ketika menjatuhkan hukuman itu menegaskan perbuatan memandu di bawah pengaruh alkohol adalah tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengakibatkan kemalangan maut.

Jelasnya, banyak kes akibat daripada tindakan sedemikian memberi kesan mendalam terhadap waris mangsa yang berdepan pelbagai kemungkinan termasuk kehilangan nyawa orang tersayang.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama 10 minggu jika gagal membayar denda berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



Sumber : Didenda RM3,000 memandu bawah pengaruh alkohol

Post a Comment

0 Comments