Dunia perlu stabilkan harga minyak

PANDEMIK COVID-19 bukan sahaja memberi impak kepada kesihatan manusia, ia turut memberikan serius kepada pembangunan, keselamatan makanan, pertumbuhan ekonomi, kehilangan pekerjaan, pengangguran dan keselamatan negara.

Malah, ia turut memberikan kesan kejatuhan mendadak harga minyak mentah kepada Malaysia dan beberapa negara pengeluar minyak. Malaysia ialah pengeluar dan pengeksport minyak hingga kejatuhan harga minyak menyebabkan pendapatan negara berkurangan.

Petroleum ialah bahan asas tenaga terpenting pada masa sekarang. Kita tidak dapat berfungsi dan beroperasi sebagai masyarakat moden hari ini tanpa sumber petroleum dan bahan terbitannya. Berita tidak menggembirakan kepada industri petroleum sejak kebelakangan ini adalah kejatuhan harga minya mentah yang begitu mendadak.

Sejak pandemik COVID-19 melanda dunia, harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) berfluktuasi sekitar AS$15, manakala harga Brent Crude (berkualiti tinggi) hanya mampu bertahan sekitar AS$20 (RM85.23). Harga terus jatuh mencapai paras paling rendah dalam sejarah, iaitu kurang AS$10 (RM42.61)satu tong. Ini bererti penjual mengalami kerugian dan perlu membayar kepada pembeli.

Lazimnya kejatuhan harga minyak berlaku apabila pengeluaran melebihi permintaan. Hal ini memang sudah dijangkakan kerana pada hari ini, pasaran melimpah akibat terlebih bekalan daripada negara pengeluar utama seperti Russia dan negara di rantau Arab.

Penggunaan minyak turun mendadak akibat wabak COVID-19 yang mengehadkan aktiviti pengangkutan dan perindustrian. Akibatnya keupayaan penyimpanan minyak global sudah mencapai tahap maksimum dan tidak lagi mampu menampung pertambahan isi padu pengeluaran baharu. Ada berita melaporkan banyak kapal tangki minyak tersadai kerana bekalan tidak boleh disampaikan kepada penguna.

Minyak yang sudah dikeluarkan daripada bumi mesti digunakan terus atau disimpan buat sementara waktu. Namun apabila keupayaan penyimpanan sudah mencapai tahap maksimum, maka syarikat pengeluar terpaksa membayar pelanggan untuk membelinya.

Tentu sekali keadaan ini akan menimbulkan keresahan dalam kalangan pemain industri minyak dan boleh menjadi masalah besar jika ia berterusan.

Kemungkinan berlaku ialah kebangkrapan dalam kalangan syarikat pengeluar minyak kerana tidak lagi mampu menampung kos pengeluaran dan kos operasinya. Syarikat kecil mungkin terpaksa tutup operasi lebih awal dan membuang pekerja.

Justeru demi mengatasi masalah ini, syarikat minyak mungkin terpaksa diambil alih oleh kerajaan untuk memastikan kelangsungan syarikat dan bagi mengatasi masalah sosial dan ekonomi yang lebih serius. Ini mungkin satu tindakan drastik, namun tindakan drastik mampu menyelamatkan keadaan daripada terus menjadi lebih buruk.

Satu tindakan bersepadu perlu dilakukan pada peringkat global bagi mengembalikan harga ke tahap munasabah atau sekurang-kurangnya bagi membolehkan syarikat pengeluar beroperasi semula. Ketika ini harga sudah mulai naik ke paras sekitar AS$35 (RM149.15) satu tong, tetapi masih di bawah paras kos pengeluaran.

Tindakan paling awal yang boleh dilakukan adalah dengan mengurangkan pengeluaran bagi menstabil harga. Namun, tindakan sedemikian juga boleh memberi impak ekonomi yang besar kepada negara, khususnya negara yang bergantung ekonomi kepada sumber petroleum, terutama negara menganggotai Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Pada tahap pengguna, kejatuhan harga minyak pula pasti menggembirakan. Ini kerana ia dapat mengurangkan beban ekonomi yang sedang ditanggung masyarakat akibat kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan yang sangat memeritkan.

Dengan kejatuhan harga minyak, bermakna kos pengangkutan akan berkurangan dan ini akan memberikan kesan positif, iaitu penurunan kos pengeluaran barangan keperluan dan kos pengangkutan. Lebihan sumber kewangan berkenaan membolehkan pengguna berbelanja lebih dan ini tentu sekali dapat menstabil ekonomi masyarakat, sekali gus negara.

Apabila wabak COVID-19 berakhir, aktiviti ekonomi akan kembali normal, permintaan minyak akan bertambah dan harga akan meningkat. Hal ini bakal berlaku apabila pandemik ini menjadi reda dan keperluan pengangkutan udara, darat dan laut kembali kepada normal. Soalnya, berapa lamakah pandemik ini akan berakhir dan apakah keadaan akan benar-benar kembali seperti asal?

Hakikatnya, negara kita bergantung tinggi kepada industri petroleum. Lebih daripada 20 peratus pendapatan negara adalah melalui cukai dan royalti daripada PETRONAS. Bagaimanakah kedudukan ekonomi negara jika fenomena kejatuhan harga minyak berlarutan hingga beberapa tahun?

Sudah jelaslah, COVID-19 bukan sekadar soal kesihatan manusia sejagat, sebaliknya ia merentasi pelbagai isu kelestarian kehidupan. Dalam konteks kejatuhan harga minyak, ini bererti pengurangan pendapatan negara dan seterusnya bakal membatut rancangan pembangunan negara.

Profesor Geologi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)



Sumber : Dunia perlu stabilkan harga minyak

Post a Comment

0 Comments