Pemandu mabuk di Jalan Pantai, Port Dickson

PORT DICKSON: Polis menahan reman seorang pemandu lelaki berusia 45 tahun yang dipercayai mabuk di Kilometer 5.5, Jalan Pantai, ketika Ops Mabuk, di sini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata lelaki itu yang juga penganggur ditahan pada jam lebih kurang 10.40 malam tadi.

"Anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson ketika menjalankan tugas 'Ops Mabuk', menahan sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 45 Tahun dalam keadaan mencurigakan.

"Suspek dari Taman PD Utama, Port Dickson diarahkan berhenti untuk pemeriksaan dan polis tidak menemui sebarang kesalahan pada peringkat awal," katanya dalam satu kenyataan media di sini tadi.

Katanya, selepas itu lelaki yang juga penganggur itu diarahkan menjalani ujian saringan pernafasan bagi mengesan alkohol dalam darah.

"Hasil ujian saringan menggunakan alat 'Lion Alcolmeter EBA-11' menunjukkan bacaan 219 miligram alkohol dalam darah yang mana melebihi had ditetapkan (80 mg alkohol/100 ml darah).

"Pemandu itu ditahan atas kesalahan memandu bawah pengaruh alkohol dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Aidi Sham berkata, lelaki itu dibenarkan reman selama empat hari mulai hari ini sehingga 7 Jun oleh Mahkamah Majisterat Port Dickson bagi tujuan siasatan lanjut.



Sumber : Pemandu mabuk di Jalan Pantai, Port Dickson

Post a Comment

0 Comments