FAM umum syor amalan terbaik bola sepak sosial, rekreasi

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) umum syor amalan terbaik bola sepak sosial dan rekreasi yang mengandungi garis panduan selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Garis panduan 'Return to Football' itu adalah sebagai maklumat penting buat semua pihak yang terbabit dalam aktiviti bola sepak bagi memulakan latihan mengikut kebenaran kerajaan bermula, esok.

Menerusi syor berkenaan, FAM menjelaskan mengenai protokol am bagi individu, pengurusan premis dan pengurusan insiden.

Protokol am individu antara lain termasuk pemakaian pelitup muka, mengelakkan aktiviti di kawasan orang ramai, tidak meludah merata-rata serta tidak melakukan sentuhan atau bersalaman.

Protokol am pengurusan premis pula membabitkan beberapa perkara yang perlu dilakukan termasuk penjarakan sosial (satu hingga tiga meter bagi aktiviti statik dan 3 hingga lima meter bagi aktiviti yang ada pergerakan), pembersihan atau nyahkuman premis dilakukan mengikut kekerapan penggunaan dan kawalan bilangan minimum petugas dan pengguna mengikut keluasan premis.

"FAM menggesa semua pemegang taruh, khususnya penganjur bola sepak sosial, sama ada liga mahupun rekreasi, untuk memastikan SOP kerajaan Persekutuan dipatuhi.

"Antara langkah-langkah yang disyorkan oleh FAM termasuk protokol am individu dan pengurusan premis yang mematuhi ketetapan dan garis panduan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"FAM juga mencadangkan langkah pengurusan insiden bagi menghadapi segala kemungkinan, termasuk pengurusan pembasmian kuman dan proses penyahkuman di premis masing-masing," kata FAM dalam satu kenyataan menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.



Sumber : FAM umum syor amalan terbaik bola sepak sosial, rekreasi

Post a Comment

0 Comments