Gaduh kerana berebut tapak niaga

KUALA LUMPUR: Berebut tapak perniagaan dipercayai menjadi punca pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki dengan seorang pemilik gerai buah di tapak perniagaan berhampiran Surau Al Amin, Seksyen 8 Bandar Baru Bangi dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata polis kini sedang mengesan lima individu termasuk seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

"Kita terima laporan daripada mangsa pada jam 6.11 petang, semalam menyatakan dia diserang sekumpulan lelaki ketika berniaga buah-buahan di lokasi terbabit.

"Suspek bertindak memukul mangsa dan turut membalingnya dengan buah durian. Suspek turut merosakkan tapak perniagaan mangsa," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada perebutan tapak perniagaan.

"Kita sedang mengesan lima lelaki termasuk seorang lelaki yang berniaga di tapak berkenaan dikenali dengan nama panggilan 'Joe'.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan atau berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Kumar di talian 017-4333795 atau 03-89114222," katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 506 dan Seksyen 427 kanun sama.



Sumber : Gaduh kerana berebut tapak niaga

Post a Comment

0 Comments