BINTULU: Masjid Darul Hidayah Kidurong di sini ditutup selama dua minggu mulai hari ini berikutan penularan pandemik COVID-19 sehingga wujud kluster Kidurong.
Pengerusi jawatankuasa pengurusan masjid berkenaan, Omar Latip, dalam kenyataan hari ini berkata, hanya pegawai masjid sahaja dibenarkan mengerjakan solat lima waktu serta melaungkan azan sepanjang tempoh berkenaan.
Beliau berkata, penutupan masjid itu diputuskan selepas kes positif COVID-19 semakin meningkat di kawasan di Kidurong.
"Persekitaran kami juga terletak dalam kawasan yang aktif dan selepas mendapat kebenaran Jabatan Agama Islam Bintulu, masjid ini ditutup serta merta mulai hari ini selama dua minggu," katanya.
Sementara itu, Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, tiga lagi kes positif baharu COVID-19 direkodkan di Sarawak hari ini dengan semuanya dilaporkan di Bintulu.
Beliau berkata, kes terbaharu menjadikan keseluruhan sebanyak 569 positif COVID-19 di Sarawak setakat ini.
"Kes ke-567 dan 568 adalah penambahan kepada jumlah kes Kluster Kidurong dengan seorang daripadanya adalah ahli keluarga kes ke-566 manakala seorang lagi adalah kontak rapat keluarga terbabit.
"Ini menjadikan jumlah kes kluster Kidurong setakat ini meningkat seramai lapan orang," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Satu lagi kes positif yang dilaporkan di Bintulu hari ini membabitkan seorang lelaki berusia 29 tahun yang balik ke negeri ini pada 14 Jun lalu selepas bekerja di Mexico sejak Februari lalu.
Sumber : COVID-19: Masjid Darul Hidayah Kidurong ditutup mulai hari ini
0 Comments