JAKARTA: Gunung Merapi di Yogyakarta, Indonesia, satu daripada gunung berapi paling aktif dunia meletus sebanyak dua kali hari ini, memuntahkan debu setinggi 6,000 meter ke udara, kata agensi geologi negara itu.
Menurut agensi berkenaan, dua letusan itu berlaku kira-kira dua minit, dan memaksa pihak berkuasa tempatan mengarahkan penduduk berada dalam jarak tiga kilometer dari sekitar kawah gunung yang terletak di kota budaya Indonesia itu.
Letusan pertama berlaku pada 9.13 pagi manakala letusan kedua pada 9.27 pagi waktu tempatan.
Agensi berkenaan tidak mengeluarkan amaran gunung berapi, namun menasihatkan semua pesawat komersil supaya berhati-hati sebaik berada di sekitar ruang udara lokasi kejadian.
Media tempatan melaporkan bahawa penduduk di kawasan sekitar termasuk Sleman dan Klaten mendengar bunyi kuat pada waktu pagi.
Kali akhir Gunung Merapi meletus adalah pada 2010, meragut lebih 300 nyawa, memaksa perpindahan sekitar 280,000 penduduk dari kawasan sekitar.
Ia adalah letupan terkuat sejak 1930, ketika itu membunuh kira-kira 1,300 penduduk, manakala satu lagi letupan pada 1994 mengorbankan 60 nyawa.
Indonesia memiliki lebih daripada 17,000 pulau dan hampir 130 gunung berapi aktif.
Negara gugusan Asia Tenggara itu terletak di atas Lingkaran Api Pasifik, iaitu zon yang aktif dengan aktiviti seismik, menyebabkan ia turut terdedah kepada ancaman gempa bumi. - AFP
Sumber : Gunung Merapi meletus dua kali, muntah debu setinggi 6km
0 Comments