Insentif PENJANA mampu perkukuh semula sektor pelancongan, industri kreatif negara

KUALA LUMPUR: Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumum kerajaan mampu merangsang semula pembangunan industri pelancongan, seni dan budaya negara yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata pelan pemulihan ekonomi jangka pendek itu membuktikan komitmen kerajaan mengambil berat dan prihatin terhadap setiap keluhan dilontarkan industri ini.

"Antara yang dapat dimanfaatkan oleh pekerja, usahawan dan penggiat sektor pelancongan dan sektor tersenarai dalam aktiviti ekonomi dilarang sepanjang PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat), serta diarahkan mengambil cuti tanpa gaji, ialah perluasan Program Subsidi Upah iaitu majikan boleh memohon subsidi upah dengan syarat pekerja menerima bayaran subsidi secara langsung.

"Skim Pembiayaan Pelancongan PENJANA bernilai RM1 bilion untuk membiayai inisiatif transformasi oleh syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam sektor pelancongan supaya terus berdaya saing dalam era kebiasaan baharu. Perincian dana ini akan diumumkan oleh Bank Negara Malaysia pada bulan hadapan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan juga mendengar keluhan karyawan, pengarah filem, kru produksi dan pengurus acara yang menjadi penyumbang kepada sektor pelancongan.

"Beberapa program dan kemudahan kewangan untuk menjana semula industri kreatif negara yang berjumlah sebanyak RM225 juta akan dilaksanakan melalui kerjasama antara MyCreative Ventures, MDEC dan pihak swasta," katanya.

Di bawah PENJANA yang diumum kerajaan hari ini, beberapa langkah cukai dilaksanakan termasuk perniagaan di bawah industri pelancongan seperti agensi pelancongan, pengusaha hotel dan syarikat penerbangan yang diberi penangguhan bayaran ansuran ke atas anggaran cukai yang kena bayar sehingga 30 September ini, dilanjutkan tempoh penangguhan selama tiga bulan lagi mulai 1 Oktober hingga 31 Disember ini.

Turut diumumkan, pengecualian cukai pelancongan sepenuhnya bagi tempoh mulai 1 Julai hingga 30 Jun 2021 dan pengecualian cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penginapan yang disediakan pengendali premis penginapan juga dilanjutkan mulai 1 September hingga 30 Jun 2021.

Selain itu, pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 yang diberikan ke atas perbelanjaan melancong dalam negara dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021.



Sumber : Insentif PENJANA mampu perkukuh semula sektor pelancongan, industri kreatif negara

Post a Comment

0 Comments