
PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menerima 425 kereta peronda baharu model Honda Civic 1.8 untuk tugasan rondaan secara berperingkat sehingga Julai ini.
Kenderaan yang dilengkapi peralatan sokongan seperti peralatan komunikasi RMPNeT, kamera papan pemuka (dashcam) dan perakam video digital mudah alih itu, disewa secara konsesi dengan syarikat Spanco Sdn Bhd selama lima tahun melalui peruntukan mengurus 2020.
Majlis penyerahan itu disempurnakan oleh menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin kepada PDRM, di sini hari ini.
PDRM juga akan menerima 850 lagi kenderaan peronda, meliputi 197 model Proton X70 1.8 dan 653 model Honda Civic 1.8, bagi tujuan penggantian kenderaan sedia ada bermula Julai hingga September ini.
"Pembekalan kenderaan peronda baharu yang dilengkapi dengan teknologi terkini ini akan dapat meningkatkan lagi kecekapan PDRM dalam melaksanakan tugasan," kata kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata kenderaan berkenaan akan menggantikan kereta peronda yang usang dan tidak lagi selamat digunakan serta dapat mengurangkan perbelanjaan menyelenggara kenderaan usang sedia ada yang tinggi.
"Kenderaan ini yang memang sangat diperlukan ketika ini. Sudah lama kita terpaksa menggunakan kenderaan berusia, jadi dengan adanya kenderaan baharu ini kita akan dapat meningkatkan lagi prestasi perkhidmatan kepada masyarakat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis penyerahan kenderaan itu, di sini.
Abdul Hamid berkata, PDRM dimaklumkan ratusan lagi kenderaan, termasuk lori pengangkut, kenderaan Black Maria dan motosikal untuk polis trafik akan turut diperoleh. - BERNAMA
Sumber : PDRM terima 425 kereta peronda baharu
0 Comments