Kutipan zakat cecah RM4.97 juta

PUTRAJAYA: Kutipan zakat fitrah oleh Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan melonjak sehingga 1100.06 peratus iaitu sebanyak RM4.97 juta berbanding tahun lalu sebanyak RM414,430.83.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata kenaikan secara mendadak kutipan zakat fitrah itu pertama kali berlaku di negara ini.

Katanya, antara faktor kenaikan jumlah kutipan itu kerana masyarakat lebih banyak masa disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Selain itu, pada tahun ini kita banyak kempen dan promosi secara aktif oleh semua pihak terutamanya di Facebook dan Instagram. Itu yang menyebabkan melonjak dan kesannya begitu besar.

"Selain itu, cara bayaran secara dalam talian juga menjadi faktor kepada kenaikan bayaran zakat berkenaan," katanya dalam sidang media selepas membentangkan Kad Laporan Mei oleh kementeriannya dan merasmikan laman web khas miliknya, di sini, hari ini.

Dr Zulkifli berkata, zakat berkenaan akan dibelanjakan dengan penuh berhemah dan diserahkan seadilnya kepada lapan kelompok asnaf yang berhak menerimanya.

Beliau turut mengulas mengenai laman web khas miliknya yang diwujudkan bagi menyampaikan informasi semasa berhubung Jabatan Menteri Hal Ehwal Agama iaitu di www.mira.gov.my.

"Ini adalah pertama kali dalam sejarah kerajaan Malaysia, ada sebuah web khas bagi Menteri di JPM.

"Ini menzahirkan kesiapsiagaan kementerian ini dan seluruh agensi bernaung di bawahnya untuk bergerak demi masyarakat dan negara," katanya.



Sumber : Kutipan zakat cecah RM4.97 juta

Post a Comment

0 Comments