
MILAN: Ciro Immobile dan Luis Alberto kembali meletakkan Lazio di landasan kemenangan dengan mengatasi Fiorentina 2-1, dan merapatkan jurang dengan pendahulu Serie A Juventus kepada empat mata.
Rekod 21 perlawanan tanpa kalah Lazio terhenti dengan kekalahan 3-2 di Atalanda Rabu lalu, walaupun mendahului permainan dengan dua gol.
Tetapi skuad kendalian Simone Inzaghi mengukuhkan kedudukan di tangga kedua, di belakang juara bertahan lapan kali Juventus yang membelasah Lecce 4-0 Jumaat lalu.
"Pemain-pemain tahu taruhannya tinggi. Ia adalah kemenangan hasil karakter dan keazaman yang tinggi," kata Inzaghi yang memburu gelaran Serie A pertama Lazio dalam dua dekad.
Pemain veteran Perancis Franck Ribery meletakkan Fiorentina di depan pada minit ke-25 - bermain pada perlawanan keduanya selepas pulih daripada kecederaan buku lali kanan sejak November.
Bekas bintang Bayern Munich berusia 37 tahun itu menunjukkan kemahirannya dengan membelah pertahanan Lazio sebelum menewaskan penjaga gol Thomas Strakosha.
Lazio bangkit di babak kedua dan menyamakan kedudukan pada minit ke-67 menerusi sepakan penalti Immobile selepas penjaga gol Fiorentina Bartlomiej Dragowski menjatuhkan Caicedo.
Immobile meledak gol ke-28 dirinya dalam saingan liga musim ini untuk terus menguasai senarai penjaring Serie A, lima gol di depan bintang Juventus Cristiano Ronaldo.
Sepakan leret Luis Alberto tujuh minit sebelum tamat permainan memastikan kemenangan buat Lazio. - AFP
Sumber : Lazio kembali buru Juventus
0 Comments