Malaysia dijangka catat sifar kes Covid-19 sebulan lagi – Dr Hisham

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan Malaysia boleh mencapai sifar kes jangkitan virus Covid-19 pada pertengahan Julai depan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, syaratnya ialah rakyat negara ini dan warga asing yang berada di Malaysia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menurutnya, walaupun semua sektor perlu dibuka sehingga 31 Ogos dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak 10 Jun lalu namun kes positif Covid-19 boleh diatasi jika SOP dipatuhi.

“Setakat ini masih terkawal dan kes yang kita lihat seharian semakin berkurangan. Dalam tempoh minggu ini pun kita dapati kes positif baharu tercatat dua digit dan satu digit.

“Semalam satu digit dan hari ini pun satu digit. Dalam tempoh sebulan lagi, kalau kita patuh kepada SOP dan patuh kepada nasihat KKM mungkin kita akan mencapai sifar kes.

“Itulah matlamat. Unjuran KKM pertengahan Julai, kalau rakyat Malaysia patuh kepada SOP, kita boleh mencapai sifar kes. Itu bukan tindakan KKM tetapi adalah rakyat Malaysia yang patuh kepada SOP,” katanya pada sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, secara keseluruhannya penularan Covid-19 di negara ini masih terkawal dan dalam kawalan.

“Kita tidak ada kes mendadak walaupun selepas hari raya atau pun dua minggu selepas kita dalam PKPP. Maksudnya kepatuhan rakyat Malaysia adalah tinggi.

“Apa yang perlu kita laksanakan sekarang ialah seimbangkan nyawa dan mata pencarian. Untuk mencapai keseimbangan, kita membenarkan semua sektor dibuka semula dengan pemantauan teliti penularan Covid-19,” katanya.



via Wowberita

Post a Comment

0 Comments