Tahan bot nelayan asing ceroboh perairan, tiada lagi pengusiran - Maritim Malaysia

PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan kembali menguatkuasakan penahanan bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara bermula hari ini,

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som, berkata ini bermakna tiada lagi tindakan pengusiran dilakukan seperti ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Beliau berkata, sebanyak 88 bot asing terutamanya dari Vietnam diusir dari perairan Malaysia sejak 18 Mac lalu dan tindakan itu bertujuan mengelak risiko penularan pandemik COVID-19 membabitkan kes import.

"Apabila PKP memasuki fasa pemulihan (mulai 10 Jun), Maritim Malaysia berpandangan tindakan dan penguatkuasaan ke atas bot nelayan asing perlu kembali kepada pendekatan asal iaitu penahanan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Bagi mengekang risiko penularan pandemik, Mohd Zubil berkata, semua bot nelayan asing yang ditahan akan dibawa ke pulau berhampiran Pulau Bidong bagi menjalani ujian saringan pengesanan COVID-19.

"Jika didapati negatif, mereka ini akan dibawa ke jeti untuk dikenakan tindakan undang-undang, manakala bagi yang positif akan dirawat sehingga sembuh sebelum didakwa," katanya.

BOT dan nelayan asing yang menceroboh perairan negara akan ditahan untuk tindakan lanjut, tiada lagi pengusiran seperti sebelum ini. - NSTP/GHAZALI KORI
BOT dan nelayan asing yang menceroboh perairan negara akan ditahan untuk tindakan lanjut, tiada lagi pengusiran seperti sebelum ini. - NSTP/GHAZALI KORI

Pada masa sama, Maritim Malaysia mencadangkan kepada Jabatan Perikanan untuk memperkenalkan peruntukan hukuman sebat terhadap nelayan asing agar mereka benar-benar takut dan serik untuk menceroboh perairan Malaysia.

"Hukuman terpakai pada masa ini adalah denda, penjara, dan melucutkan hak bot (menenggelamkan) dilihat tidak menakutkan mereka untuk terus menceroboh.

"Walaupun denda dinaikkan sehingga RM6 juta bagi tekong dan RM500,000 bagi awak-awak yang didapati bersalah menceroboh perairan negara , sehingga kini tiada denda dikenakan kerana mereka memilih hukuman untuk dipenjarakan antara enam bulan dan setahun," katanya.

Dalam mempertingkat usaha kawalan perairan negara, beliau berkata, pihaknya bakal memiliki tiga kapal besar sepanjang 83 meter, dengan kapal pertama dijangka diterima hujung tahun ini.

"Kapal besar ini akan digunakan sebagai kapal induk untuk membekalkan bahan logistik untuk bot pemintas APMM," katanya.

Beliau berkata, Maritim Malaysia turut juga mencadangkan kepada kerajaan agar agensi itu dilengkapkan tiga kapal 'Multi Purpose Mission Ship' (MPMS), dengan kos anggaran RM1.05 bilion, yang berkeupayaan berada di lautan selama sebulan.

"Sekiranya kita miliki MPMS, tugas pengawalan perairan negara juga dapat dipertingkatkan dengan menggunakan dron yang boleh membuat tinjauan sebelum kita menghantar bot pemintas untuk menahan nelayan yang menceroboh perairan kita," katanya. – BERNAMA



Sumber : Tahan bot nelayan asing ceroboh perairan, tiada lagi pengusiran - Maritim Malaysia

Post a Comment

0 Comments