
KUALA NERUS: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sedia membenarkan operasi pasar malam dengan normal baharu, diperluaskan, jika semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Fadli Yusoff Zakaria, berkata peniaga pasar malam diberi tempoh sehingga pertengahan bulan depan untuk mengekalkan pematuhan SOP.
Katanya, MBKT akan membuat laporan terutamanya membabitkan pematuhan SOP dan mencadangkan kepada kerajaan negeri agar pasar malam diperluaskan ke seluruh negeri.
"Hasil pemantauan dilakukan petang ini, kita berpuas hati dengan pematuhan SOP dilakukan peniaga, termasuk melakukan ujian suhu badan setiap pengunjung dan melakukan penjarakan kanopi melebihi satu meter antara satu sama lain.
"Jika langkah pencegahan bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19 dikekalkan, kita yakin kerajaan bersetuju memperluaskan pasar malam di seluruh negeri," katanya.
Fadli Yusoff berkata demikian selepas membuat pemantauan pematuhan SOP oleh peniaga pasar malam percubaan di kawasan tempat letak kenderaan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak di sini, hari ini.
Yang turut hadir adalah Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran MBKT, Che Wan Mohd Zulkifli Che Wan Jalil dan Pengarah MBKT cawangan Utara, Hama Hakim Mahyudi Awang.
Seramai 112 peniaga sekitar daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, mengambil kesempatan menjalankan perniagaan pada pasar malam percubaan hari ini.
Ketika mengulas permintaan peniaga agar MBKT memanjangkan tempoh perniagaan sehingga jam 10 malam, berbanding hanya jam 7 malam, Fadli Yusoff menegaskan, kebenaran itu bergantung kepada peniaga.
"Jika semua peniaga mengekalkan pematuhan SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) sepanjang tempoh penilaian, kerajaan negeri mungkin akan memberi pertimbangan," katanya.
Sumber : MBKT perluaskan pasar malam jika SOP dipatuhi
0 Comments