
KAJANG: "Saya tidak meletak jawatan dan tidak akan meletak jawatan," tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.
Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menjelaskan berita peletakan jawatan itu adalah ciptaan kumpulan berkepentingan politik yang mahu menggugat kestabilan politik.
"Saya akan terus bekerjasama dengan barisan kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin bagi memantap pengurusan negara dalam situasi ekonomi yang mencabar akibat wabak COVID-19," katanya pada sidang media di kediamannya di Tropicana Height, di sini, hari ini.
Minggu lalu, spekulasi menyatakan sekurang-kurangnya dua menteri Kabinet BERSATU dijangka meletak jawatan dalam masa terdekat dan menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir Mohamad.
Nama Redzuan disebut-sebut salah seorang yang akan meletakkan jawatan berikutan perjumpaan beliau dengan Tun Dr Mahathir Mohamad minggu lalu.
Semalam, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Dr Shahrudin Md Salleh meletakkan jawatan tetapi menegaskan akan terus menyokong Perikatan Nasional (PN).
Redzuan turut meminta pihak yang terbabit menyebarkan spekulasi itu berhenti menyebarkan khabar angin tidak benar dan mengajak kumpulan yang membuat fitnah itu bekerjasama untuk membantu memulihkan kembali ekonomi negara.
Enggan mengulas lanjut mengenai parti, katanya, perkara itu sudah dijelaskan oleh Setiasaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam kenyataan media hari ini.
"BERSATU tidak akan lari daripada landasan perlembagaan, dasar dan peraturan parti yang sama-sama saya asaskannya. Hala tuju BERSATU jelas.
"Justeru, saya ingin tegaskan kepada akar umbi parti yang lama mahu pun baharu terus bersatu di bawah satu saf dan meneruskan kesinambungan serta kelestarian perjuangan kita.
"Parti bukan hak saya atau individu tertentu bukan hak pengasas, hak pemimpin tetapi ia hak milik ahli BERSATU.
"Saya menasihatkan semua ahli politik di negara ini sama ada pro kerajaan atau pembangkang untuk bersama-sama menghayati titah Yang di-Pertuan Agong, yang menasihatkan kita jangan mengheret negara sekali lagi ke kancah politik tidak menentu ketika rakyat masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan sukar akibat pendemik COVID-19," katanya.
Ditanya mengenai pertemuan beliau dengan Dr Mahathir menyebabkan spekulasi peletakan jawatan itu menjadi viral, Redzuan menegaskan pertemuan itu bersifat peribadi dan bertujuan untuk penyatuan BERSATU seperti kunjungan terhadap pemimpin parti lain.
"Saya bertangungjawab memastikan kesatuan ini wujud kembali, kunjungan saya itu kerana saya mahu melihat dari lensa Dr Mahathir (mengenai parti) dan mana hala tuju BERSATU.
"Apa isi kandungan perbincangan, saya tidak perlu dedahkan itu perbincanagan peribadi.
"Hala tuju BERSATU jelas dan ini dipersetujui kepemimpinan melalui mesyuarat MPT malam tadi jadi tidak perlu buat spekulasi," katanya.
Mengulas dakwaan beliau menjadi wakil parti dan Presiden BERSATU pada pertemuan itu, beliau menjelaskan kehadiran beliau di pejabat Dr Mahathir adalah atas kapasiti individu bukan mewakili mana-mana pihak.
"Saya juga berjumpa pemimpin yang lain. Kita mahu keluar dari situasi ini supaya kita kembalikan kestabilan kepemimpinan parti dan kita mahu rakyat faham... kita buat kerja dan mengapa perlu saya letak jawatan," katanya.
Sumber : Redzuan nafi letak jawatan
0 Comments