LONDON: Pakar perubatan memberi amaran supaya kerajaan British bersedia dengan 'ancaman sebenar' gelombang kedua COVID-19, sehari selepas perintah berkurung ditarik balik di England.
Seramai 16 pakar perubatan menandatangani surat terbuka kepada kerajaan, yang diterbitkan Jurnal Perubatan British, mendesak negara itu bersedia sepenuhnya untuk membendung gelombang kedua.
"Ketika masa depan pandemik ini sukar dijangka, data yang diperoleh menunjukkan jangkitan tempatan meningkat dan gelombang kedua adalah risiko yang sebenar," kata kumpulan pakar itu.
Antaranya, termasuk Ketua Kolej Pembedahan Diraja, Fakulti Kesihatan Awam dan Kolej Kejururawatan Diraja.
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, semalam mengumumkan apa yang beliau sifatkan sebagai berakhirnya perintah berkurung kebangsaan dan membenarkan pembukaan kebanyakan sektor ekonomi mulai 4 Julai ini.
Ia termasuk pub, hotel, restoran, muzium dan galeri, dengan penjarakan sosial dalam lingkungan dua meter yang dikuatkuasa sejak Mac akan dilonggarkan kepada satu meter, bergantung kepada keluasan tempat, selain wajib memakai pelitup muka.
Namun, kelonggaran itu hanya tertakluk kepada England, manakala pihak berkuasa Scotland, Ireland Utara dan Wales berhak menentukan sendiri peraturan mereka.
Britain merekodkan 43,000 kematian dalam kalangan penduduk yang positif COVID-19, terburuk di rantau Eropah dan setakat semalam, merekodkan 171 kematian.
Bagaimanapun, jumlah sebenar yang maut dipercayai hampir 60,000 mangsa, berdasarkan analisis punca kematian.
Keputusan itu dilihat sebagai penting kepada kebanyakan bahagian ekonomi, yang berdepan dengan pemberhentian kerja dan kehilangan pekerjaan skala besar selepas tiga bulan perintah berkurung dan arahan terus kekal di rumah dikuatkuasa.
Bagaimanapun, keputusan untuk menarik balik perintah berkurung menimbulkan persoalan.
Bekas Ketua Penasihat Saintifik kerajaan, David King, memberitahu Sky News yang keputusan itu adalah 'risiko yang amat luar biasa' dan lebih bersifat politik berbanding saintifik.
Namun, Setiausaha Perniagaan Kerajaan, Alok Sharma, berkata arahan menarik balik perintah berkurung itu adalah berasas dan untuk memastikan setiap orang selamat selain bertujuan melindungi kehidupan rakyat. - AFP
Sumber : Pakar UK beri amaran mengenai gelombang kedua COVID-19
0 Comments