Kontraktor, bekas penyelia ditahan SPRM

KUALA LUMPUR: Seorang kontraktor dan bekas penyelia pejabat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu dan memalsukan tandatangan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Kedua-dua suspek masing-masing berusia 40 dan 53 tahun itu disyaki melakukan kesalahan itu, tahun lalu, dan ditahan di Pejabat SPRM cawangan Klang, Selangor, kira-kira jam 3.45 petang tadi.

Sumber berkata, mereka disyaki memalsukan tandatangan ADUN terbabit dalam borang Kelulusan Pengeluaran Peruntukan ADUN untuk dikemukakan kepada pegawai daerah.

"Borang permohonan berkenaan bertujuan bagi tuntutan bayaran membabitkan kerja pembekalan tidak disempurnakan dan dipercayai dilakukan antara April hingga Julai tahun lalu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Klang, Selangor bagi permohonan reman, pada jam 9 pagi esok," katanya kepada BH, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit.



Sumber : Kontraktor, bekas penyelia ditahan SPRM

Post a Comment

0 Comments