Lelaki ditahan disyaki rogol wanita Nigeria

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki Sabtu lalu, kerana disyaki merogol seorang wanita Nigeria di sebuah rumah di Cheras, 4 Jun lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata pihaknya turut memburu tiga lagi lelaki bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Suspek berusia 44 tahun itu kini direman selama enam hari berakhir lusa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

"Sebelum ini, polis menerima satu laporan daripada seorang wanita warga Nigeria berusia 30 tahun yang mendakwa dipukul beberapa lelaki pada 4 Jun lalu.

"Hasil siasatan mendapati pada tarikh sama pada jam 10 pagi, pengadu pergi ke rumah teman lelakinya di kawasan Cheras. Pengadu dipercayai dipukul dan dicederakan oleh teman lelaki dan beberapa rakannya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, Mazlan berkata, pihaknya menangkap tiga lelaki termasuk suspek kes rogol itu dan seorang wanita warga Thailand berusia antara 28 hingga 44 tahun bagi membantu siasatan kes pukul.

"Ketiga-tiga lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

"Mereka direman selama lima hari berakhir 9 Jun lalu. Ketiga-tiga suspek itu kemudian diberi jaminan polis setelah permohonan untuk menyambung reman ke atas mereka ditolak.

"Wanita Thailand itu pula disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan dan direman selama 14 hari berakhir 18 Jun lalu," katanya.

Mazlan berkata, seorang daripada tiga lelaki terbabit ditahan semula pada Sabtu lalu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur selepas polis menerima aduan daripada mangsa berhubung dakwaan dia dirogol.

Mengulas mengenai pengadu, beliau berkata, wanita berkenaan ditempatkan di wad Hospital Kuala Lumpur (HKL) dari 4 hingga 6 Jun lalu, untuk rawatan susulan.

"Pada 9 Jun lalu jam kira-kira 7.50 malam, setelah selesai memberi keterangan berkaitan kes pukul, pengadu membuat laporan mengenai dakwaan kejadian rogol yang berlaku pada hari sama pengadu dipukul.

"Pada awalnya, pengadu tidak mahu memanjangkan kes rogol dan enggan membuat pemeriksaan di hospital.

"Namun, pengadu membuat laporan kedua itu setelah ditahan di wad selama tiga hari dan dinasihatkan oleh polis supaya membuat laporan berkaitan kejadian berkenaan," katanya.

Bagaimanapun, Mazlan berkata, wanita itu kemudian ditahan kerana didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

"Pengadu itu direman selama 14 hari berakhir semalam mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Pengadu kini ditempatkan di Penjara Kajang sehingga siasatan kes rogol selesai," katanya.



Sumber : Lelaki ditahan disyaki rogol wanita Nigeria

Post a Comment

0 Comments