Pelanjutan tempoh PSU manfaatkan 2.7 juta pekerja - PERKESO

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melanjutkan Program Subsidi Upah (PSU) bagi tempoh tiga bulan dengan jangkaan 2.7 juta pekerja akan menerima manfaatnya.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata langkah itu memperlihat agensi itu komited dalam melaksanakan langkah yang dimandatkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menstabilkan pasaran buruh negara.

Katanya, langkah itu selari dengan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) kerana mahu PSU itu diperluas selepas diperkenal dalam Pakej Rangsangan Ekonomi (PRIHATIN).

"Dengan peruntukan RM5 bilion, PSU akan dilanjutkan tiga bulan lagi yang memberi manfaat kepada kira-kira 2.7 juta pekerja dengan setiap mereka menerima RM600.

"Selain itu, PERKESO juga akan melonggarkan beberapa syarat PSU, iaitu majikan boleh mengurangkan waktu kerja atau gaji sedia ada dengan persetujuan kedua-dua pihak dan memperluas liputan dan memfokuskan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) bagi pekerja yang bersetuju cuti tanpa gaji.

"ERP ini disediakan khusus kepada perniagaan yang dilarang beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) serta sektor berkaitan pelancongan seperti syarikat penerbangan dan pengusaha hotel," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, PERKESO juga akan membantu kerajaan menangani isu pengangguran dan merangsang kewujudan pekerjaan dalam negara dengan melaksanakan Program Insentif Pengambilan Pekerja atau Penjana Kerjaya membabitkan peruntukan RM1.5 bilion.

"Program ini diharap memberi manfaat kepada 300,000 pencari kerja, iaitu majikan layak menerima insentif pengambilan pekerjaan antara RM600 hingga RM1,000, sekiranya mereka menggaji pekerja perantis.

"Insentif itu layak diterima penganggur termasuk golongan yang kurang diwakili seperti orang kurang upaya dan tenaga kerja berusia," katanya.

Beliau berkata, program itu merangkumi penyediaan peluang melatih semula dan meningkatkan kemahiran pencari pekerjaan, termasuk kalangan bukan pencarum PERKESO dengan kerjasama Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB).

"Di bawah program ini, pencari kerja yang perlu berpindah ke negeri lain untuk menerima tawaran kerja, akan diberikan elaun mobiliti," katanya.

Katanya, bagi menggalakkan perlindungan keselamatan sosial kepada semua tanpa meminggirkan sesiapa pun, PERKESO akan melaksanakan program Geran Padanan untuk pekerja Ekonomi Gig.

"Menerusi program ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM50 juta akan memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 pekerja ekonomi gig.

"Dalam program ini, dana padanan pada nisbah 70:30 atau kira-kira RM162.96 bagi setiap pekerja akan disediakan untuk perlindungan daripada bencana kerja selama satu tahun di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

Mohammed Azman berkata, PERKESO juga bersedia untuk bekerjasama dengan penyedia platform yang berdaftar dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

"Perlindungan PERKESO tidak hanya di tempat kerja, tetapi melindungi pekerja terbabit dalam kemalangan atau kematian berkaitan pekerjaan semasa bekerja dari rumah di bawah Skim Bencana Pekerjaan.

"Perlindungan ini bertujuan untuk menyokong dan menggalakkan aktiviti pasaran buruh serta sistem kerja anjal, termasuk WFH dalam kalangan pekerja sewaktu wabak COVID-19," katanya.

Bagi membantu pencari kerja dan melancarkan padanan pekerjaan, PERKESO akan memanfaatkan Perkhidmatan Pekerjaan Negara, MyFutureJobs yang saling berkait dengan fungsi pengurusan kes yang membolehkan Kaunselor Kerjaya PERKESO menyediakan sokongan individu untuk pencari kerja terutama golongan yang mudah terjejas.

Katanya, Portal MyFutureJobs PERKESO percuma untuk semua pencari kerja dan majikan yang dibangunkan berdasarkan kerangka Perkhidmatan Pekerjaan Awam mengikut definisi Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).



Sumber : Pelanjutan tempoh PSU manfaatkan 2.7 juta pekerja - PERKESO

Post a Comment

0 Comments