Perantau dinasihat patuh SOP

KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan mengingatkan perantau yang pulang ke kampung halaman mulai hari ini supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP), bagi mengekang jangkitan COVID-19.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, berkata pihaknya menjangkakan ramai perantau yang bakal pulang ke kampung untuk bertemu keluarga masing-masing, susulan kebenaran rentas negeri bermula hari ini.

"Justeru, saya mengingatkan mereka yang pulang supaya mematuhi SOP yang ditetapkan kerana bila dibenarkan rentas negeri, bukan bermakna kita boleh bergerak bebas.

"Apa yang penting, sebarang majlis kenduri atau rumah terbuka tetap tidak dibenarkan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat exco, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Ahmad turut memaklumkan, seramai 887 pelajar dari Mesir yang pulang ke tanah air pada 3 Jun lalu dijangka tiba di Kelantan malam ini.

"Kesemua mereka menjalani kuarantin terlebih dahulu di Kuala Lumpur dan hasil keputusan adalah negatif.

"Memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sudah tamat, maka kesemua mereka akan menyambung tempoh kuarantin di rumah masing-masing.

"Kerajaan negeri menyediakan 12 bas untuk membawa pulang kesemua pelajar berkenaan dan mereka dijangka tiba malam ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, kebenaran solat Jumaat masih lagi kekal kepada 40 jemaah sehingga hari ini.

"Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Zulkifli Mohamad Al-Bakri dijangka mengumumkan SOP solat Jumaat dan fardu mengikut keluasan masjid. Kita tunggu dulu pengumuman itu.

"Selain itu, tempoh operasi premis di negeri ini akan diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Khas," katanya.



Sumber : Perantau dinasihat patuh SOP

Post a Comment

0 Comments