PKPP: Aliran trafik rentas sempadan lancar, terkawal

KUALA LUMPUR: Aliran trafik kedua-dua arah di Plaza Tol Gombak, di sini, masih terkawal setakat tengah malam tadi selepas perjalanan merentas sempadan negeri dibenarkan bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuat kuasa, hari ini.

Tinjauan BH mendapati kenderaan bergerak lancar tanpa sebarang kesesakan, dengan anggota tentera dan polis mengemas kon serta khemah untuk sekatan jalan raya (SJR) di plaza tol terbabit bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang tamat jam 12.00 tengah malam tadi.

Bagaimanapun, bilangan kenderaan melakukan perjalanan merentas negeri dijangka meningkat pada hujung minggu ini, terutama dalam kalangan mereka yang ingin pulang ke kampung halaman.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, ketika dihubungi berkata semua SJR di sempadan negeri telah ditarik balik, jam 12 tengah malam tadi.

Aliran trafik lancar di plaza Tol Gombak menuju ke Pantai Timur berikutan kerajaan membenarkan orang ramai melakukan perjalanan rentas negeri bermula tengah malam ini. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Aliran trafik lancar di plaza Tol Gombak menuju ke Pantai Timur berikutan kerajaan membenarkan orang ramai melakukan perjalanan rentas negeri bermula tengah malam ini. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan fokus mengadakan SJR di beberapa lokasi lain mengikut keperluan semasa.

"SJR rentas negeri yang diadakan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), ditutup mulai tengah malam ini.

"Namun, masih ada SJR dijalankan oleh pihak JSPT dan polis negeri serta daerah mengikut keperluan penugasan pencegahan jenayah.

"Ia termasuk operasi mengesan pemandu mabuk dan memandu melebihi had kelajuan, selain samseng jalanan," katanya.



Sumber : PKPP: Aliran trafik rentas sempadan lancar, terkawal

Post a Comment

0 Comments