PKPP: Kehadiran penjawat awam ditingkatkan - KPPA

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman, berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuat kuasa, hari ini, akan menyaksikan kehadiran penjawat awam ditingkatkan selari pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial, termasuk sekolah.

Katanya, ketika ini, perkhidmatan kementerian dan agensi kerajaan pulih dengan kehadiran ke pejabat melebihi 70 peratus.

Bagi memastikan penyampaian perkhidmatan berterusan pada tahap 100 peratus, beliau berkata, semua pengarah bahagian sektor perkhidmatan awam hendaklah mengimbangi antara keperluan kehadiran pekerja masing-masing di pejabat dengan kemudahan bekerja dari rumah.

"Pertimbangan fleksi bekerja dari rumah harus diberi kepada mereka yang masih menghadapi isu penjagaan anak di rumah sementara menantikan sekolah dibuka semula," katanya dalam perutusan kepada penjawat awam, semalam.

Dalam menghadapi situasi pandemik COVID-19, beliau menggesa semua kakitangan memberi keutamaan memastikan keselamatan serta kesihatan diri, keluarga dan rakan sepejabat.

"Jika kita mendatangkan risiko jangkitan atau penularan, adalah wajar kita bertindak segera sebagaimana arahan pihak berkuasa.

"Pada peringkat jabatan, segala usaha akan diganda bagi memastikan persekitaran kerja mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Mohd Khairul Adib berkata, pengarah bahagian juga diminta supaya memantau dan memastikan persekitaran kondusif serta selamat bagi memberi keyakinan penjawat awam kembali bertugas di pejabat.

Beliau berkata, kesegeraan dalam tindakan proaktif adalah kemestian bagi membantu membangunkan semula sektor ekonomi negara.

"Jelas sekali, ramai yang terkesan dari segi pendapatan dan pekerjaan akibat COVID-19. \

"Walaupun kita tidak terkesan secara langsung daripada situasi ini, tugas mencabar menanti kita ialah untuk membantu sektor swasta membangunkan semula bisnes dan sektor ekonomi negara.

"Dalam hal ini, penjawat awam perlu peka dan responsif kepada kehendak klien serta pemegang taruh. Kesegeraan tindakan, profesionalisme dan pemudah cara daripada kita pasti dapat memangkinkan pemulihan ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata, tiada toleransi kepada penjawat awam yang tidak produktif dan tiada integriti kerana persaingan dalam pekerjaan kini menjadi lebih sengit berikutan ramai ingin bekerja untuk menyara kehidupan.

Katanya, perkhidmatan, sumbangan dan disiplin sebagai penjawat awam amat dituntut, terutama dalam situasi negara sedang melalui krisis kesihatan dan ekonomi paling mencabar ketika ini. – BERNAMA



Sumber : PKPP: Kehadiran penjawat awam ditingkatkan - KPPA

Post a Comment

0 Comments