PKPP ujian sebenar tahap disiplin kendiri, sosial masyarakat - KP Kesihatan

PUTRAJAYA: Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai esok, adalah ujian sebenar terhadap tahap disiplin kendiri dan sosial dalam kalangan masyarakat di negara ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, ketiadaan kes baharu COVID-19 membabitkan warganegara, hari ini, adalah pencapaian yang boleh dibanggakan selepas pelbagai usaha dilaksanakan bersama oleh semua pihak dengan menggunakan pendekatan seluruh jentera kerajaan dan masyarakat.

"Kementerian Kesihatan menggunakan maklumat terbaru daripada jumlah kes harian penularan di negara ini dalam kalangan warganegara dan membandingkannya dengan graf pemodelan COVID-19 seperti yang diramalkan Institut Kesihatan Negara (NIH).

"Kita mendapati ia sejajar dengan unjuran kes harian dalam pemodelan itu, serta memang menggambarkan impak positif tindakan diambil oleh kerajaan dan pematuhan rakyat terhadap prosedur operasi standard (SOP) serta saranan diberikan kerajaan.

"Namun, masyarakat harus kekal berwaspada dan terus mematuhi SOP serta saranan ditetapkan bagi memastikan tiada peningkatan kes COVID-19 dalam kalangan komuniti setempat.

"Menuju kepada penguatkuasaan PKPP yang akan bermula esok, adalah ujian sebenar terhadap tahap disiplin kendiri dan sosial dalam kalangan masyarakat, dengan harapan kita dapat terus memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di Malaysia," katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham sekali gus menzahirkan ucapan tahniah kepada rakyat Malaysia kerana sudi bekerjasama dalam usaha kerajaan itu sehingga negara berjaya mencapai tahap yang memberangsangkan.



Sumber : PKPP ujian sebenar tahap disiplin kendiri, sosial masyarakat - KP Kesihatan

Post a Comment

0 Comments