MADRID: Sevilla kembali melonjak ke tangga ketiga La Liga selepas seri 2-2 di Villareal, di mana Bruno Soriano beraksi buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun akibat kecederaan.
Paco Alcacer meletakkan Villareal di depan pada minit ke-18 dan Pau Torres mengembalikan kelebihan gol selepas kapten Sevilla Sergio Escudero menyamakan kedudukan.
Munir El Haddadi memastikan Sevilla pulang dengan satu mata dan memintas Atletico Madrid dengan gol penyamaan minit ke-63, sekali gus menamatkan deretan tiga kemenangan Villareal.
Keputusan seri itu mengukuhkan kedudukan Villareal untuk Liga Europa dengan Real Sociedad tercicir daripada kelayakan ke kejohanan Eropah itu.
Bruno, sebahagian daripada skuad Sepanyol di Euro 2016, tampil buat kali pertama sejak Mei 2017 dengan menggantikan Alcacer, selepas berehat panjang akibat kecederaan lutut yang hampir menamatkan kariernya.
"Sudah terlalu lama saya tidak beraksi sehingga saya tidak tahu apa yang boleh dikatakan.
"Ia amat penting buat saya. Saya cuba kembali beberapa kali. Saya tidak bohong, ada ketika saya rasa seperti lebih baik untuk tidak meneruskannya," kata Bruno. - AFP
Sumber : Sevilla bangkit ikat Villareal
0 Comments