Naib Ketua Pemuda PKR, Syed Badli Shah Syed Osman menyifatkan tiada keperluan untuk mengadakan pilihan raya umum dengan segera, sebaliknya Putrajaya harus dikembalikan kepada Pakatan Harapan (PH) “melalui saluran yang betul”.
Jelasnya, untuk mengadakan pilihan raya umum dalam tempoh ini adalah satu pembaziran ketika negara dalam proses pemulihan daripada wabak Covid-19.
Bagaimanapun katanya, mandat PH mesti dikembalikan dan pakatan itu perlu menerajui negara sehingga habis penggal.
“Justeru itu jika berpeluang, mandat pemerintahan perlu dikembalikan semula kepada PH mengikut saluran yang betul.
“PH perlu kembali mengemudi negara sehingga selesai tempoh mandat yang sebenarnya,” katanya pada satu kenyataan.
Menurutnya lagi, keputusan PH untuk tidak meletakkan calon dalam pilihan raya kecil (PRK) Chini adalah satu keputusan yang tepat.
Ia sekali gus memberi isyarat jelas bahawa fokus harus diberikan kepada usaha pemulihan Covid-19 dan bukannya pilihan raya kecil.
Ketika dihubungi, Syed Badli Shah memberitahu Malaysiakini “saluran yang betul” yang disebutnya bermaksud PH perlu mengemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa mereka mempunyai sokongan mencukupi untuk menuntut kembali pentadbiran Putrajaya.
“Sekiranya mereka mempunyai jumlah (angka sokongan majoriti ahli parlimen), ikuti Perlembagaan Persekutuan untuk mengadap dengan Yang di-Pertuan Agong dan membentangkannya,” katanya.
Sebelum pelantikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah telah menemu ramah semua anggota parlimen untuk menentukan siapa di antara mereka yang akan mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat.
Perikatan Nasional (PN) telah mengambil alih kuasa persekutuan pada akhir Februari setelah 22 bulan pemerintahan PH dan tempoh satu penggal ataupun lima tahun hanya akan berakhir pada 8 Mei 2022.
Peralihan awal dari PH ke PN ditandai dengan ahli parlimen yang berpaling tadah dan spekulasi mengenai jumlah terakhir anggota parlimen di kedua-dua belah pihak.
Sejak itu, wujud spekulasi bahawa PH sekali lagi akan berusaha merebut kembali Putrajaya.
Ia mendorong para pemimpin PN termasuk bekas perdana menteri Najib Razak menyarankan bahawa pilihan raya umum merupakan cara terbaik untuk mengembalikan kestabilan politik negara.
via Wowberita
0 Comments