Tok Gajah dijangka kembali berlatih minggu depan

KUANTAN: Pengendali Pahang, Dollah Salleh mengesahkan skuad bimbingannya dijangka kembali menyambung latihan bermula minggu depan selepas tertangguh sejak pertengahan Mac lalu susulan penularan pandemik COVID-19.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata sebelum memulakan latihan mereka akan menjalani ujian calitan esok.

"Pahang dijangka mula turun berlatih minggu depan. Semua pegawai, barisan kejurulatihan dan pemain akan menjalani ujian calitan, esok.

"Jika berjalan lancar dan mendapat kelulusan, semua pemain akan kembali menjalani latihan bersama sejak tertangguh pada Mac lalu susulan pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan)," kata pengendali berumur 57 tahun itu.

Sebelum Liga Malaysia ditangguhkan, skuad Tok Gajah menduduki tangga ketiga Liga Super dengan mengutip enam mata daripada empat perlawanan.

Pada awal musim, Pahang memulakan kempen Liga Super dengan langkah kiri apabila tewas 1-2 kepada Selangor dan PJ City FC 2-3 sebelum bangkit dengan dua kemenangan berturut-turut iaitu ke atas Melaka United (1-0) dan Sabah (2-0).



Sumber : Tok Gajah dijangka kembali berlatih minggu depan

Post a Comment

0 Comments