KUALA LUMPUR: Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) (dahulunya dikenali sebagai Persatuan Sukan Elektronik Malaysia) mengumumkan perjanjian kerjasama bernilai RM140 juta dengan Dynasty Esports (M) Sdn Bhd untuk mewujudkan platform sukan elektronik (e-sukan) nasional rasmi Malaysia.
Melalui kerjasama strategik lima tahun itu, Dynasty Esports, anak syarikat Blue Star Capital plc, akan menyediakan platform yang menggalakkan pengurusan dan kawalan ekosistem esports yang berkesan - pemain, organisasi dan kejohanan - di bawah platform digital bersepadu tunggal.
Presiden MESF, Datuk Ananth S Nathan berkata platform itu akan mengandungi antara lain pengurusan acara sukan elektronik sumber terbuka percuma, pembabitan pemain dan berita terkini sukan berkenaan.
Ia juga akan menampilkan senarai pendahulu dan sistem ranking pertama negara untuk kejuaraan permainan sukan itu untuk rakyat Malaysia, dan kalendar e-sukan kebangsaan bagi aktiviti yang berkaitan dengan sukan tersebut di negara ini serta acara yang menampilkan atlet Malaysia.
"Kami percaya cara terbaik menuju ke arah pengembangan e-sukan di negara ini adalah dengan terbabit dan bekerjasama dengan pihak berkepentingan yang relevan dalam sukan tersebut, penganjur acara, penerbit permainan, pemaju permainan, masyarakat dan bakat," menurutnya dalam satu kenyataan.
Selain itu, MESF akan melancarkan rancangan liga e-sukan kebangsaan yang merangkumi kejuaraan permainan e-sukan di pelbagai platform seperti komputer peribadi (PC), konsol, mudah alih, simulator perlumbaan dan realiti maya (VR) untuk Malaysia selaras dengan Pelan Strategik untuk Pembangunan e-Sukan yang dilancarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan tahun lepas.
Menurut kenyataan itu, MESF memperoleh pelaburan RM140 juta itu kerana yakin rakyat Malaysia boleh memanfaat daripada ekosistem berstruktur yang tidak hanya dapat membantu masyarakat tetapi juga ekonomi secara keseluruhan.
-- BERNAMA
Sumber : MESF umum kerjasama RM140j dengan Dynasty Esports
0 Comments