76 individu ditahan dalam pesta liar

KLUANG: Polis menahan 76 individu yang disyaki terbabit dalam pesta liar di sebuah rumah inap, di Jalan Delima, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail, berkata kesemua 56 lelaki dan 20 wanita berusia antara 15 dan 35 tahun itu ditahan, pada 1.30 pagi oleh sepasukan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang yang melakukan Operasi Pesta Liar.

Beliau berkata, ketika ditahan masing-masing sedang asyik berhibur sambil berjoget dengan mendengar muzik yang kuat tanpa menyedari kehadiran polis.

"Polis menemukan beberapa bahan terlarang daripada tiga lelaki itu, iaitu sepeket plastik disyaki dadah jenis ketamin dianggar seberat 1.85 gram (g), sepeket plastik disyaki dadah jenis ganja dianggar seberat 1.8 g serta 21 biji pil disyaki eskstasi," katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati 28 lelaki dan 10 wanita positif dadah dan mereka kini direman sehingga 8 Julai ini.

Menurut Mohd Abduh, berdasarkan maklumat, kesemua mereka hadir ke pesta liar berkenaan selepas mendapat maklumat menerusi aplikasi WhatsApp daripada penganjur yang berasal dari Batu Pahat dengan setiap individu masing-masing dikenakan bayaran RM30.

"Kesemua 76 individu yang ditahan ini akan didakwa mengikut Perkara 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 iaitu berkumpul di suatu tempat tanpa penjarakan sosial.

"Selain itu, bagi kesalahan penyalahgunaan dadah, mereka terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 39A (1), Seksyen 12(2), Seksyen 6 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Mohd Abduh menasihatkan pengusaha rumah inap supaya mengenal pasti pelanggan yang menyewa premis mereka dan ibu bapa supaya sentiasa mengawasi aktiviti anak bagi mengelakkan terbabit aktiviti penyalahgunaan dadah.



Sumber : 76 individu ditahan dalam pesta liar

Post a Comment

0 Comments