
KOTA BELUD: Kemenangan besar calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain, dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, semalam membuktikan kesepakatan dalam Perikatan Nasional (PN).
Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Rina Harun, berkata BERSATU juga turut bersama berkempen bagi memastikan kemenangan calon berkenaan.
"Tahniah dan syabas kepada Mohd Sharim yang menang besar semalam dengan majoriti 12,650 selepas memperoleh 13,872 undi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan ziarah prihatin, di sini hari ini.
Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata dengan kemenangan besar itu menunjukkan kesatuan dalam masyarakat untuk bersatu di bawah kerajaan pimpinan PN.
PRK DUN Chini menyaksikan Mohd Sharim, 41, menang dengan majoriti 12,650 undi, selepas memperoleh 13,872 undi, mengalahkan dua calon Bebas, iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, yang mendapat 1,222 undi dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, dengan memperoleh 137 undi. - BERNAMA
Sumber : Kemenangan besar BN bukti kesepakatan PN
0 Comments