LONDON: Keserasian adalah kunci kejayaan Arsenal ketika mengejutkan Manchester City 2-0 dalam separuh akhir Piala FA, menurut pengendali Gunners Mikel Arteta.
Pierre-Emerick Aubameyang meledak kedua-dua gol untuk membawa Arsenal ke final ke-21 mereka di Piala FA.
Arteta mengatasi Pep Guardiola dengan strategi gerakan balas pantas dan Aubameyang meledak satu gol di setiap babak untuk menyempurnakan perancangan Arsenal.
Arsenal akan berdepan Chelsea atau Manchester United, yang akan bertemul awal pagi nanti, pada final di Wembley 1 Ogos nanti.
Arsenal memegang rekod penampilan terbanyak di final kejohanan itu.
Enam tahun lalu, Arteta menjadi kapten ketika Arsenal menjuarai Piala FA, dan pada tahun pertamanya sebagai pengendali kelab utara London itu, dia berjaya membawa kelab ke final selepas kali terakhir mereka memenanginya pada tahun 2017.
"Kami mempunyai keserasian yang hebat, mereka amat yakin dengan apa yang kami cuba lakukan dan anda dapat merasakannya. Mereka berhak (menang).
"Untuk menewaskan yang terbaik anda perlu mengambil peluang dan apabila bertahan semua mesti bersatu melakukannya.
"Saya amat gembira dan bangga dengan pemain-pemain kami, tetapi malangnya kami tidak dapat meraikannya dengan peminat-peminat," kata Arteta.
Hanya beberapa hari selepas menundukkan juara Liga Perdana Liverpool, Arsenal terus membuktikan yang Arteta adalah orang yang tepat untuk mengembalikan mereka ke zaman kegemilangan kelab di bawah kendalian Arsene Wenger.
Arsenal tewas tujuh pertemuan dengan City sebelum ini, termasuk kekalahan 3-0 pada perlawanan pertama selepas penangguhan akibat COVID-19.
Bagi Guardiola pula, ia adalah kekalahan pertamanya dalam 10 kunjungan ke Wembley. - AFP
Sumber : Arsenal kejutkan Man City di Wembley
0 Comments