COVID-19: 9 kes baharu hari ini

PUTRAJAYA: Sebanyak sembilan kes baharu jangkitan COVID-19 direkodkan hari ini, lima daripadanya adalah penularan tempatan, manakala empat lagi kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,764 selain jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 96 kes.

Beliau berkata, lima pesakit sudah dibenarkan pulang selepas mereka pulih sepenuhnya, dengan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada COVID-19 serta sudah discaj dari wad adalah sebanyak 8,546 kes atau 97.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya, empat kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan tiga warga Malaysia dan seorang warga asing yang berkahwin dengan rakyat Malaysia.

"Empat kes import membabitkan mereka yang pulang dari Indonesia (dua individu) dan masing-masing seorang yang pulang dari Singapura serta Pakistan.

"Daripada lima kes penularan di dalam negara, satu kes adalah bukan warga Malaysia iaitu kes saringan sebelum berlepas ke China. Beliau tidak bergejala dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

"Baki empat kes penularan dalam negara pula adalah kalangan warga Malaysia, iaitu empat kes di Sarawak membabitkan satu kes saringan kontak rapat dalam kluster Mambong," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, satu lagi membabitkan kes saringan pra prosedur di Hospital Bau, Kuching manakala dua lagi adalah daripada kluster Stutong.

Beliau berkata, setakat ini, hanya ada satu kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

Selain itu, katanya, jumlah kematian kekal pada 122 kes setakat ini.



Sumber : COVID-19: 9 kes baharu hari ini

Post a Comment

0 Comments