COVID-19: Saringan semua penumpang transit

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan akan berbincang dengan syarikat penerbangan untuk melaksanakan saringan COVID-19 ke atas semua penumpang yang transit di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sekiranya saringan penumpang itu menjadi satu syarat sebelum berlepas ke negara lain, ini dapat mengelakkan penularan 19 di dalam pesawat.

Bagaimanapun, katanya, kos saringan itu perlu dibayar oleh penumpang dan bukan di bawah tanggungjawab agensi kerajaan.

"Sekarang kita sedang melihat keperluan untuk membuat saringan kepada penumpang yang menjadikan lapangan terbang di negara ini sebagai transit.

"Contohnya kes pelajar yang pulang dari Melbourne, Australia yang menjadikan KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) sebagai transit, sebelum meneruskan penerbangannya ke Kuching yang secara tidak langsung sudah menjangkiti penumpang lain.

"Ini yang kita bimbang. Kes sedang meningkat di negara lain. Jika kita jalankan syarat terbabit, sekiranya penumpang terbabit melepasi saringan, baru kita benarkan mereka meneruskan perjalanan," katanya dalam sidang media COVID-19, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai sekatan sementara penerbangan dari Malaysia ke Kemboja, berikutan 55 penumpang yang menaiki pesawat berkenaan disahkan positif COVID-19.

Dr Noor Hisham berkata, semua individu daripada Malaysia dan Indonesia itu hanya transit di negara ini dan bukannya dijangkiti wabak berkenaan dari Malaysia.

"Ia membabitkan individu yang pulang dari Russia, Arab Saudi dan Mesir. Mereka bukan dijangkiti di Malaysia, sebaliknya hanya menggunakan lapangan terbang di sini sebagai lokasi transit," katanya.

Semalam, portal The Cambodia Daily melaporkan larangan bersifat sementara itu berkuat kuasa 1 Ogos ini.

Selain Malaysia, turut dihalang memasuki negara berkenaan ialah penerbangan dari Indonesia.

Sehingga kini, Kemboja mencatatkan 255 kes dan 143 pesakit sudah pulih sepenuhnya dan 82 individu masih menerima rawatan di hospital.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata, seramai 1,742 individu dalam pengawasan (PUS) tidak menjalani ujian saringan COVID-19 pada hari ke-13.

Katanya, jumlah itu ialah 7.2 peratus darpada jumlah keseluruhan PUS.



Sumber : COVID-19: Saringan semua penumpang transit

Post a Comment

0 Comments