'Guna dana sebaik mungkin'

KUALA LUMPUR: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengharapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat menggunakan dana bantuan COVID-19 Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dengan sebaik mungkin.

Setiausahanya, Datuk Windsor Paul John berkata, dana yang diagihkan itu tidak boleh digunakan sesuka hati kerana ia bertujuan membantu mereka berdepan impak ekonomi susulan penularan pandemik berkenaan.

"Berdasarkan surat kepada persatuan bola sepak kebangsaan, dana itu untuk menangani impak COVID ke atas mereka. Ia tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya kerana setiap sen daripada dana itu akan diaudit FIFA.

"Jadi dalam konteks FAM, mereka boleh menggunakan dana itu untuk pihak yang berada di bawah kendalian mereka. Apa sahaja yang berada di bawah mereka seperti pasukan kebangsaan ataupun pembangunan akar umbi boleh dibantu dengan dana ini termasuk pembangunan pengadil dan jurulatih.

"Saya tidak mahu komen sejauh mana kerosakan yang dihadapi mereka kerana COVID-19 tetapi analoginya di sini, sebelum kita membaiki rumah orang, lebih baik kita tengok rumah kita sendiri yang juga bocor," katanya.

Mengulas lanjut sama ada dana terbabit boleh diagihkan kepada ahli gabungan FAM, Windsor menjelaskan mereka perlu memahami konteks FAM sebagai badan induk dan juga Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang menjadi pengelola Liga Malaysia (Liga M).

"FAM adalah badan induk manakala MFL pula satu entiti swasta dan pasukan Liga M bertanding secara profesional dan bernaung di bawah MFL. Ini bukan isu (FAM boleh bagi ataupun tidak) tetapi konteksnya di sini, dua badan ini adalah entiti yang berbeza.

"Tetapi kalau dilihat, pasukan Liga M juga adalah ahli gabungan FAM tetapi (dana itu) sepatutnya untuk hal-hal pembangunan bola sepak dan sebagainya," katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan dana berjumlah AS$1.5 juta (RM6.43 juta) itu perlu digunakan untuk 'membaik pulih' beberapa masalah berkaitan bola sepak dan tidak boleh dibelanjakan sesuka hati.

"Saya mengingatkan persatuan bola sepak negeri atau kelab tidak boleh memohon dana itu kerana bertentangan dengan garis panduan yang dikeluarkan FIFA," katanya.



Sumber : 'Guna dana sebaik mungkin'

Post a Comment

0 Comments