
GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini menyuarakan kebimbangan terhadap penangkapan yang sudah dilakukan di Hong Kong di bawah undang-undang keselamatan baharu.
Katanya, undang-undang penuh kontroversi itu masih samar dari segi kandungannya termasuk mengenai skop bidang kuasa dan kesalahan yang diliputi.
Pejabat hak asasi PBB menegaskan, pihaknya sedang dalam proses menganalisis kandungan undang-undang baharu itu, yang melarang penindasan, pemisahan, keganasan dan bersekongkol dengan kuasa asing.
Undang-undang itu diluluskan Selasa lalu di Beijing, melangkaui badan perundangan Hong Kong dengan beberapa orang sudah ditangkap dan seorang sudah didakwa di mahkamah.
Jurucakap pejabat hak asasi PBB, Rupert Colville, berkata pihaknya bimbang penangkapan begitu cepat dilakukan di bawah undang-undang itu sedangkan tiada maklumat atau pemahaman penuh mengenai skop kesalahan.
"Berdasarkan analisis awal, kami bimbang tafsiran beberapa kesalahan tidak jelas dan terlalu luas bidang kuasanya," katanya dalam taklimat media secara maya.
Colville memberi amaran, tindakan itu mengakibatkan pelaksanaan undang-undang yang bersifat menindas atau dikuatkuasa sewenang-wenang selain menggugat perlindungan hak asasi manusia.
Beijing menghadapi kritikan hebat negara Barat terutama berhubung undang-undang yang secara radikal meningkatkan penguasaan China terhadap Hong Kong.
Colville mengakui undang-undang menjejaskan hak asasi manusia, terutama membabitkan kebebasan asasi seperti dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan dan hak perbicaraan yang adil perlu dilindungi.
"Kami berharap peruntukan ini ditafsirkan dengan cara yang benar-benar memberikan kesan penuh kepada 'ketentuan yang mengikat' dalam perjanjian hak antarabangsa," katanya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan berhubung kesalahan 'bersekongkol dengan negara asing atau unsur luar untuk membahayakan keselamatan negara'.
"Ini mungkin membawa larangan awam dan menyekat kemungkinan masyarakat akan menggunakan hak mereka untuk menyertai perhimpunan awam.
"Undang-undang itu akan menjurus kepada penindasan hak kebebasan bersuara, berhimpun dan perhimpunan aman," katanya. - AFP
Sumber : PBB bimbang ramai ditahan di bawah undang-undang keselamatan Hong Kong
0 Comments